Lelaki Ini Perlu Membayar Mut'ah Sebanyak RM600,000 Dalam Tempoh 6 Bulan Sedangkan Gajinya Hanya RM5,000 !
KUALA LUMPUR: "Apakah nilai mut'ah sebanyak RM600,000 ini selayaknya saya bayar kepada bekas isteri dengan pendapatan bulanan pada saat penceraian hanya RM5,000?"
Itu luahan ahli perniagaan, Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim yang hairan dengan keputusan mahkamah kerana memintanya membayar sejumlah wang yang tidak logik nilainya kepada bekas isterinya di atas alasan bayaran mut'ah.
"Pada masa saya bercerai, pendapatan kasar bulanan adalah kira-kira RM5,000.
"Apa yang menjadi kemusykilan dalam isu ini berkaitan bagaimana nilaian ini diperoleh melalui ijtihad hakim yang dilihat membebankan dan menzalimi pihak suami.
"Jika merujuk kepada sistem ijtihad yang digunakan oleh hakim, pengiraan yang digunakan oleh hakim bagi suami yang berpendapatan RM5,000 adalah seorang yang dikategorikan mewah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Norazam mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memerintahkannya membayar RM600,000 kepada bekas isteri sebagai mut'ah.
Mut'ah adalah pemberian suami kepada isteri selepas diceraikan. Pemberian mut'ah kepada isteri adalah satu kewajipan. Objektif utama pemberian ini bagi mengekalkan hubungan dan rasa hormat kepada isteri selepas diceraikan.
Namun demikian pemberian berbentuk wang dan barangan dibenarkan oleh Syarak berdasarkan kemampuan suami sendiri.
Pada November 2013, Norazam diperintah untuk membayar mut'ah sebanyak RM600,000 kepada bekas isterinya selain perlu dijelaskan dalam tempoh enam bulan pada tarikh perintah.
Bagaimanapun proses memfailkan notis rayuan serta notis semakan terhadap kesnya itu ditolak mahkamah berkenaan tanpa alasan munasabah.
Tambah Norazam, apa yang ingin diketegahkannya ialah hakim terbabit tidak langsung mengunakan kaedah thawabit, iaitu panduan dalam perjalanan kes-kes silam untuk menjatuhkan hukuman.
"Apa yang ingin diketengahkan, kemampuan dan hukuman yang dijatuhkan tidak seimbang dengan pendapatan suami.
"Bagaimana dengan pendapatan RM5,000 saya perlu memberi mut'ah sebanyak RM600,000?
"Tolong nyatakan satu kaedah bagaimana suami mencari nilai sebanyak itu untuk membayar dalam masa enam bulan. Mana mungkin seorang yang berpendapatan sebegini dapat menyelesaikan nilaian sebanyak ini," katanya.
Ujarnya lagi, beberapa kes di negara ini juga tidak pernah merujuk kepada pemberian mut'ah setinggi itu dengan pendapatan suami yang rendah.
"Saya tahu Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkaitan mut'ah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam seksyen berkenaan.
"Berdasarkan peruntukan, ternyata Mahkamah Syariah mempunyai kuasa luas dalam isu ini. Ada baiknya kita menganalisa ijtihad hakim berkaitan dengan kes ini.
"Hakim akan menilai kemampuan suami, berdasarkan pendapatan yang diperoleh setiap bulan selain perlu dinyatakan pendapatan kasar yang diperoleh semasa perkahwinan bukannya pendapatan yang diperoleh selepas perceraian," tegasnya.
Katanya lagi, beberapa kes lampau juga menjadi rujukan yang membuatkannya terkejut dengan keputusan mut'ah tinggi yang perlu diberi kepada bekas isterinya.
"Sebagai contoh kes Siti Aishah Abd Aziz lawan Abdul Ghafar pada 1995 yang boleh disimpulkan bahawa pendapatan suami dibawah RM500 berada di bawah kadar kemiskinan jadi nilaian mut'ah akan diperoleh oleh isteri adalah RM30 sehingga RM500, sederhana sekiranya RM500 sehingga RM1,500 dan RM 1,500 ke atas yang diklasifikasikan sebagai kaya.
"Formula ijtihad yang dinyatakan di atas telah dijadikan panduan kepada hakim–hakim dalam menilai mut'ah dan ia berubah berdasarkan pendapatan suami namun tidak tinggi sehingga RM600,000.
"Cara pembayaran yang telah diputuskan oleh mahkamah bagi sesuatu kes apabila telah dinyatakan sesuatu nilaian oleh mahkamah Syariah bukannya dalam bentuk sekali gus tetapi sebaliknya ada kes yang diarahkan bayar secara ansuran," katanya.
0 Response to "Lelaki Ini Perlu Membayar Mut'ah Sebanyak RM600,000 Dalam Tempoh 6 Bulan Sedangkan Gajinya Hanya RM5,000 !"
Post a Comment