Kisah Menarik Dan Menginsafkan. Wanita Bertudung Yang Dijaga Tuhan
Nota Editor: Kisah ini asalnya telah dipaparkan di Facebook Page M&M Backpacking sewaktu mengembara backpack selama 3 minggu di beberapa negara di Eropah termasuk Itali dan Bosnia. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis. Semoga bermanfaat untuk anda.
Wanita Bertudung yang Dijaga Tuhan.
Kembara kami kali ini hampir tiba di penghujung. Tiga minggu mengembara banyak mengajar kita perkara baru.
Banyak hal-hal yang dapat kita belajar dengan berjalan. Antara hal-hal itu adalah sikap Tuhan dengan kita, dan sikap kita dengan Tuhan.
Sikap Tuhan dengan kita dapat kita lihat dalam takdir. Sikap kita dengan Tuhan dapat kita lihat ketika menghadapi cabaran kehidupan.
Untuk pengembaraan kali ini, saya bawa bersama 2 orang wanita. Ini adalah pengalaman pertama saya, membawa dua orang wanita ber ‘backpack’.
Yang namanya wanita itu kebanyakannya sama. Mereka lambat bersiap dan perlukan masa. Orang lelaki pula tidak perlukan waktu yang banyak untuk bersiap. Ini adalah cabaran utama dan terbesar menggembara bersama wanita.
Kerana mengambil masa yang lama untuk bersiap, beberapa kali kami hampir terlepas pengangkutan untuk ke destinasi seterusnya. Membawa berbelas belas kilo dan berjalan dengan laju untuk mengejar masa bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia memerlukan kekuatan kaki dan jiwa. Tetapi puji syukur pada Tuhan, setiap kali kami terlewat itu, setiap itu jugalah Tuhan bersikap pemurah dengan kami. Bas yang sepatutnya sudah bergerak seolah olah menunggu kehadiran kami.
Dalam kembara kali ini juga, dompet saya hampir dicuri. Tapi puji syukur pada Tuhan, Dia menyedarkan saya ketika zip beg dibuka.
Dalam kembara kali ini juga, kami bertemu ramai orang. Sebahagiannya adalah orang-orang yang keliru dengan kehidupan dan suka benar mengganggu orang lain. Puji syukur pada Tuhan juga, wanita bertudung ini tak pernah dikacaunya dan tidak berani didekati.
Dalam kembara kali ini juga, kami bertemu ramai orang-orang baik yang sudi menghulurkan bantuan. Mereka seolah menganggap kami seperti keluarga sendiri. Dilayan dan diberi segala kemudahan yang diperlukan.
Di akhir kembara ini saya berfikir, atas sebab apakah segala kebaikan ini terjadi. Atas alasan apakah Tuhan bersikap baik dengan kami.
Di akhir kembara ini, saya mungkin telah temukan jawapan bagi persoalan itu.
Mungkin, wanita wanita ini menjaga Tuhannya, lalu Tuhan kembali menjaga mereka.
Sabda Baginda Nabi :
“Jagalah Allah, Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, kamu akan mendapati Allah didepanmu. Dan jika kamu meminta, mintalah pada Allah, dan jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pada Allah.”
0 Response to "Kisah Menarik Dan Menginsafkan. Wanita Bertudung Yang Dijaga Tuhan"
Post a Comment