Kes Dera Yaya : Jawapan Sebenar Kenapa Ibu Kandung Sanggup Serahkan Yaya Begitu Sahaja Kepada Bekas Suaminya?


KOTA BHARU: Sana Abdul Malek, ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang teruk didera berkata, dia terpaksa menyerahkan anaknya kepada suaminya apabila mereka bercerai pada 2013.

Dia yang berketurunan Thai-Muslim dan tinggal di Pasir Mas ini berkata, dia tidak tahan menjalani kehidupan berumahtangga  dengan lelaki itu yang juga berketurunan sama.

"Saya tak tertanggung lagi untuk menjalani kehidupan dengannya; Saya terpaksa memberikan anak perempuan saya kepadanya sebagai syarat untuk bercerai, " kata Sana, 28, kepada The Star dalam satu temu bual telefon.

Dia menambah, keputusan untuk menyerahkan anak perempuannya adalah perjanjian peribadi dan bukan merupakan perintah mahkamah.

Sana menolak untuk menjawab soalan lanjut mengenai perkahwinan dan perceraiannya serta mengapa dia begitu terdesak untuk menamatkan perkahwinannya itu, lantas menamatkan temubual.

Doktor mendapati 13 tulang anak perempuan Sana telah patah selepas dia dimasukkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana disyaki didera.

Sana berkata dia melihat kesan lebam di badan anaknya itu selepas isteri kepada bekas suaminya berkata mereka mahu menyerahkan semula anak itu kepadanya kerana mereka tidak dapat menjaganya lagi.



Namun, timbul lebih banyak persoalan mengenai ibu bapa kanak-kanak itu sejak siasatan bermula.

Sumber yang rapat dengan penyiasatan itu berkata kedua-dua ibu bapa ini adalah pendatang tanpa izin apabila kanak-kanak itu dilahirkan tetapi kini tidak lagi berstatus pendatang dan menetap di sini secara sah.

Menurut sumber hospital, rekod lahir kanak-kanak itu mencatatkan nama orang lain sebagai bapa.

Pada masa itu, lelaki itu adalah seorang rakyat Malaysia.

"Saya berasa pelik kenapa seorang ibu kandung sanggup menyerahkan anaknya begitu sahaja.

"Adalah menyedihkan anak yang dilahirkan miskin menjadi pajak gadai dalam perjanjian itu dan akhirnya dia disiksa dan dipukul dengan kejam.

"Saya seakan tidak percaya suspek, yang dikatakan sebagai bapa anak itu, akan membenarkan perkara ini berlaku," kata sumber itu.

Pada Isnin, budak perempuan berkenaan telah menjalani pembedahan kecemasan kerana ususnya berpintal.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata usus kanak-kanak itu mengalami masalah, iaitu berpintal sehingga mengakibatkan makanan tidak dapat bergerak dengan betul.

Dr Ghazali berkata dia telah dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan pada jam 10.30 pagi Isnin dan pembedahan selesai satu jam kemudian. Keadaannya stabil dan dalam masa terdekat ini, dia tidak boleh makan apa-apa sehingga saluran usus itu pulih.

Ia adalah satu keadaan yang mengancam nyawa kanak-kanak itu.

"Dia tidak akan dibenarkan untuk makan selama 24 jam.

"Pada masa ini, tiada siapa yang dibenarkan melawatnya kecuali ibunya tetapi kita lebih mengambil berat tentang tulangnya yang patah itu.

"Kita perlu menunggu sehingga dia boleh berjalan untuk mengetahui tahap kerosakan fizikal," katanya kepada pemberita di hospital itu.

kredit : mstar

0 Response to "Kes Dera Yaya : Jawapan Sebenar Kenapa Ibu Kandung Sanggup Serahkan Yaya Begitu Sahaja Kepada Bekas Suaminya?"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...