(GAMBAR) JOJIE, KAKAK RATU ROCK ELLA AKHIRNYA TAMATKAN ZAMAN ANAK DARA DI USIA 50 TAHUN


(GAMBAR) JOJIE, KAKAK RATU ROCK ELLA AKHIRNYA TAMATKAN ZAMAN ANAK DARA DI USIA 50 TAHUN | Jojie Aminuddin dan bakal suaminya, Syahrizal Ismail tidak keberatan untuk memberikan kerjasama dengan bergambar bersama. Mereka akan menamatkan zaman bujang beberapa minggu sebelum Ramadan pada Jun ini. – Foto TheRakyatPost

KUALA LUMPUR, 30 April: Kakak yang juga pengurus Ratu Rock negara, Ella iaitu Jojie Aminuddin, 50, membuat pengakuan akan menamatkan zaman anak daranya bersama jejaka pilihan hati, Syahrizal Ismail, 36, beberapa minggu sebelum bulan Ramadan pada Jun ini.

Memetik laporan dari portal TheRakyatPost, Jojie atau nama sebenarnya, Rozita Aminuddin berkata, selepas perkenalan lebih setahun dengan Syahrizal atau mesra disapa Syah itu, membuatkan hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga.

Lebih-lebih lagi kata Jojie, perkara utama yang membuatkan dia merasakan Syah adalah pilihan terbaik untuknya apabila lelaki itu seorang yang sentiasa menjaga solatnya.

“Tanyalah mana-mana wanita sekalipun, mereka mahukan seorang lelaki yang dapat membimbing mereka ke jalan yang lebih baik dan begitu juga dengan saya.

“Namun, apa yang membuatkan saya jatuh cinta kepadanya apabila kali pertama dia menghantar kiriman mesej pada setiap pagi untuk mengingatkan saya agar bangun solat Subuh.

“Bukan hanya itu, kematangan dan sikapnya yang gentlemen serta romantik itu juga antara faktor mengapa saya terbuka untuk menerima lamarannya menjadi isterinya,” kata Jojie sambil tersipu malu ketika ditemui The Rakyat Post usai sidang media pelancaran single terbaru Ella, Istimewah di Mutiara Damansara, dekat sini hari ini.

Jelasnya lagi, jurang usia antara dia dan Syah bukanlah satu masalah besar kerana masing-masing tahu peranan yang perlu dilakukan dan apa yang paling utama adalah keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan mereka tanpa sebarang masalah.

Mengulas lanjut tentang majlis perkahwinannya, Jojie menjelaskan mereka akan mengutamakan yang wajib terlebih dahulu iaitu majlis akad nikah dan kemudiannya, majlis resepsi yang dijangka akan berlangsung sebulan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Pihak keluarga Syah pun sudah menghantar tanda dan kami pun memang sepakat tidak mahu bertunang kerana mahu terus bernikah,” jelasnya lagi.

Ketika ditanya, tentang jodohnya yang tiba pada usia 50 tahun, Jojie mengakui dirinya amat cerewet tentang soal itu sehinggalah Syah hadir dalam dirinya yang mengubah segala-galanya.

Sementara itu, Syah turut berada di sesi temu bual itu tidak menafikan dia juga berasa selesa dan mempunyai keserasian dengan Jojie sehingga dia mahu memperisterikan wanita jelita itu.

“Apa yang saya suka tentang Jojie ialah dia tidak suka mengongkong dan sangat memahami tugas saya sebagai seorang yang terlibat dalam bidang penganjuran acara.

“Dia juga cukup faham dengan diri saya ini yang merupakan seorang yang fokus dan kuat bekerja.

“Seperkara lagi yang memikat hati saya tentang Jojie apabila dia seorang yang pandai masak. Biar masakan itu ringkas, tapi sudah cukup untuk membuka selera saya,” katanya sambil ketawa kecil dengan diperhatikan Jojie di sisinya.

Pun begitu, baik Jojie mahupun Syah, masing-masing belum sepakat berhubung soal tarikh nikah memandangkan mereka masih lagi memikirkan lokasi untuk majlis pernikahan mereka.

Setakat ini, mereka memilih untuk melangsungkan hari bahagia mereka di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ataupun di Carcosa Sri Negara.

Jojie turut menambah, seandainya semua perancangan berjalan lancar, selepas berumah tangga nanti, dia dan Syah bersama-sama Ella dan suaminya, Azhar Husaini Ghazali akan mengerjakan umrah dan haji.

0 Response to "(GAMBAR) JOJIE, KAKAK RATU ROCK ELLA AKHIRNYA TAMATKAN ZAMAN ANAK DARA DI USIA 50 TAHUN"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...