Tips Untuk Yang Malas Lipat Kain Baju. Jangan Bertimbun Setinggi Gunung Everest!

Kain baju bertimbun, berlonggok bak Gunung Kinabalu. Itu adalah situasi yang selalu berlaku pada famili dan generasi GST masakini. Bukan orang yang sudah berkahwin sahaja, yang bujang pun sama. Bila ada tetamu datang, tergocoh-gocoh sembunyikan bakul-bakul dalam bilik tidur.
Familiar dengan situasi begini? Adakah anda salah seorang daripadanya? Adakah anda golongan “Aku Benci Lipat Kain”?

Malas yang amat

Banyak-banyak kerja rumah dalam kehidupan berumahtangga, lipat kain dan lipat baju adalah perkara yang paling malas dilakukan. Betul atau tidak?
Kadang-kadang bukannya malas (statement pujuk diri sendiri), ia cuma terlalu rutin. Basuh hari ini, minggu depan sebakul lagi baju kotor. Basuh lagi, selepas itu kotor lagi. Lebih-lebih lagi bila ada anak yang macam artis, satu hari tukar baju 3-4 kali.

Bagaimana cara atasi?

Jika tidak mahu longgokan baju setinggi Gunung Kinabalu, atau lebih dahsyat lagi setinggi Gunung Everest, ikut tips ini. Kami kongsikan tips ini untuk panduan semua.

1. Jangan bertangguh, basuh dan terus sidai

Kita selalunya masukkan baju dalam mesin basuh, letak sabun, letak softener dan tinggal untuk pergi tengok TV. Baik, mungkin anda marah jika kata tengok TV. Kami katakan anda pergi masak. Boleh?
Bila buat aktiviti lain, ia akan berpanjangan dan baju akan terbiar dalam mesin basuh setelah siap dicuci dan dibilas. Ini untuk mesin basuh automatik sepenuhnya. Bagi mesin basuh separa automatik, kena keringkan dahulu.
Jadikan habit, bila dengar bunyi tittt…. titt… tittt… dari mesin basuh yang menandakan kain baju siap dicuci, terus sidai. jangan tunggu-tunggu. Jangan pula tidur semasa tunggu baju siap dibasuh. Alamatnya baju-baju itu akan bertapa dalam mesin basuh selama 2-3 hari lagi.

2. Tengok TV sambil lipat

Sambil-sambil tengok TV, biarkan tangan berjalan. Letak bakul betul-betul depan mata dan ajak anak-anak lipat bersama.
Layankan sahaja anak tengok 611 di Astro. Cuma lepas lipat depan TV, jangan lupa angkat terus dan susun dalam almari. Kalau tidak, alamatnya baju-baju yang sudah dilipat itu akan terus berada depan TV sehingga habis dipakai.

3. Sistem seorang satu bakul

Kenapa kain baju berlonggok? Kalau mahu tahu, ia kerana semua baju dicampurkan sekali. Dalam bakul itulah baju suami, baju isteri dan baju anak-anak. Kalau terlalu malas sangat mahu lipat baju, tetapkan yang setiap seorang ada satu bakul. Contohnya begini:
Suami: 1 bakul
Isteri: 1 bakul
Anak pertama: 1 bakul
Anak kedua: 1 bakul
Anak seterusnya: 1 bakul
Pakaian dalam: 1 bakul
Melainkan jika tinggal bersama ibu-bapa, mertua atau adik ipar, sistem ini mungkin tidak boleh digunapakai.

4. Terus lipat fabrik bersaiz besar dan tebal

Selepas basuh tuala, selimut dan seluar jeans, dan angkat dari ampaian setelah kering, kita mungkin akan campak dalam bakul. Bayangkan bila dalam bakul itu juga ada baju lain. Tentu sekali bakul tidak muat. Silap-silap, selimut dan comforter sahaja sudah makan ruang lebih 50%.
Amalkan terus lipat kain baju yang bersaiz besar.

5. Asingkan terus fabrik kecil

Antara benda-benda kecil ialah pakaian dalam dan stokin. Semasa angkat dari jemuran, terus masukkan dalam bakul yang tertentu. Kenapa kami katakan begini? Supaya anda tidak menggagau mencari pakaian dalam atau stokin tatkala sudah lambat untuk pergi kerja. Perkara kecil sebegini boleh buat hati jadi marah!

6. Lipat baju cara pantas

Kita diajar cara lipat kain dengan cara tradisional. Cuba adaptasi cara lipat kain pantas cara yang cuma mengambil masa beberapa saat. Tonton video di bawah ini untuk cara lipat kain dalam masa 5 saat.

7. Guna bakul baju kotor yang kecil

Sengaja kami cadangkan agar guna bakul untuk baju kotor yang bersaiz kecil. Ini kerana, jika setiap hari main campak-campak baju, bakul itu akan cepat penuh. Secara psikologi, kita akan fikir, “Oh, dah penuh bakul laundry ni. Nak kena basuh dah ni”.
Bayangkan kalau bakul untuk baju kotor itu sebesar gajah. Tentu sekali anda akan terus dan terus mencampak baju kotor sehingga setinggi gajah juga.

8. Sesekali guna mesin dobi layan diri

Dobi Layan Diri
Foto Kredit: laundrybar.weebly.com
Bukan hantar dobi yang kena tunggu seminggu baru boleh ambil. Sekarang ini, banyak kedai dobi layan diri yang tumbuh bak cendawan. Cuma sediakan duit sahaja. Jika mahu jimat, basuh di rumah dan keringkan di kedai dobi layan diri itu.
Kalau rasa tak malu atau tidak kisah berjumpa jiran tetangga kerana takut dicop malas, boleh terus lipat baju di dalam kedai dobi tersebut.

0 Response to "Tips Untuk Yang Malas Lipat Kain Baju. Jangan Bertimbun Setinggi Gunung Everest!"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...