Peminat Di Twitter Menyampah Dengan Ayda Jebat

peminat di twitter menyampah dengan ayda jebat

KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2015: Aktres kecil molek, Ayda Jebat mendedahkan terdapat segelintir peminat di Twitter menyatakan perasaan menyampah terhadap dirinya. Bukan kerana menyampah dengan perwatakan Ayda yang gila-gila, tetapi mereka meluat dengan watak yang dibawakan Ayda dalam drama bersiri terbaru arahan Michael Ang, Isteri Separuh Masa.
Drama gandingan Ayda bersama Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza dan ramai lagi itu bersiaran setiap Isnin, 10.00 malam di Astro Ria dan Astro Maya HD.
“Dalam drama bersiri tersebut, saya bawakan watak Zita. Karakter Zita merupakan watak antagonis dalam drama bersiri tersebut. Saya merupakan kekasih kepada Aiman Hakim. Namun begitu, Aiman dipaksa berkahwin Emma Maembong dan saya cuba untuk menarik perhatian untuk mendapatkan Aiman kembali,” ujar Ayda memulakan bicara.
Menerusi maklumbalas yang diterima oleh Ayda, gadis kelahiran Melaka ini mengakui yang ramai peminat menyatakan rasa tidak puas hati dan meluat dengan watak yang dibawanya dalam drama bersiri tersebut, terutamanya di laman Twitter.
“Melihatkan respon peminat di laman Twitter, rata-rata mereka menyampah dengan watak Zita. Ramai tak suka dengan kejahatan yang saya lakonkan dalam drama tersebut. Saya akui yang sebelum ini saya agak jarang membawakan karakter antagonis dan ini merupakan satu pengalaman baru bagi saya.
"Saya menerima semua maklumbalas yang diberikan penonton secara positif dan mahu menjadikan ianya sebagai satu anjakan untuk saya sendiri agar saya dapat memberikan yang lebih baik dalam karakter yang bakal saya jayakan selepas ini,” kata Ayda optimis.
Dalam pada itu, pemenang anugerah Artis Baharu Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular BH 2014 ini menafikan dia akan demand selepas menang anugerah.
“Saya bukan seorang yang demand. Saya masih sama dan boleh dibawa berbincang. Namun begitu, saya akui yang saya akan menjadi sedikit selektif dalam memilih karakter yang bakal saya lakonkan. Selepas meraih anugerah, saya sedar yang saya harus mengekalkan momentum agar peminat yang menyokong kerjaya saya tidak bosan dengan produk yang saya sajikan.
"Jadi saya harus sedikit memilih selepas ini dalam mempelbagaikan watak yang saya bawakan,” katanya lagi.
Ayda juga sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjalanan kariernya semenjak mula dia menjejakkan kaki dalam dunia hiburan sehingga dia berjaya meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular.
“Syukur Alhamdulillah atas anugerah yang diberikan. Saya ingin berterima kasih kepada keluarga, teman-teman, pihak media dan semua tenaga produksi yang pernah saya bekerja dari dulu hingga kini. Paling penting sekali, terima kasih untuk semua peminat dan penyokong saya, terutamanya kepada AJ Screamer yang tidak henti-henti memberi sokongan dan galakkan sehingga ke hari ini,” ujarnya mengakhiri bicara.

0 Response to "Peminat Di Twitter Menyampah Dengan Ayda Jebat"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...