Pelik! Pelangi Muncul Pada Waktu Malam

Kita biasa melihat pelangi muncul pada waktu siang yang biasanya muncul semasa matahari bersinar ketika hujan gerimis atau selepas hujan berhenti.



Moonbow

Tetapi bagaimana pula dengan pelangi pada waktu malam? Mungkin ia kedengaran pelik, tetapi fenomena unik ini memang benar-benar berlaku dan dikenali sebagai Moonbow.

Moonbow adalah pelangi yang dihasilkan oleh pantulan, pembiasan dan penyebaran cahaya dari bulan yang berinteriaksi dengan titisan air hujan yang turun dari langit.

Sama seperti pelangi di waktu siang, Moonbow terjadi disebabkan oleh pembiasan cahaya. Pelangi pada waktu siang terjadi kerana pembiasan cahaya matahari, manakala pelangi yang terjadi pada waktu malam pula disebabkan oleh pembiasan cahaya bulan.

Lunar-Rainbow
Pengunjung yang mahu menyaksikan Moonbow.

Moonbow sangat jarang terjadi kerana memerlukan keadaan dan kriteria khusus untuk menyebabkan fenomena itu berlaku.

Masa terbaik untuk melihat Moonbow adalah ketika bulan penuh kerana cahaya yang banyak diperlukan untuk mewujudkan fenomena ini.

Bulan perlu berada pada titik rendah iaitu pada kedudukan disekitar 42 darjah di langit pada waktu malam yang gelap selepas hujan.

Tidak seperti pelangi berwarna-warni yang dihasilkan oleh cahaya matahari pada waktu siang, Moonbow kelihatan berwarna putih dan kurang jelas pada mata kasar kita. Ini kerana cahaya bulan terlalu malap untuk merangsang reseptor kon warna di mata manusia.

Akibatnya, mata manusia sukar untuk membezakan warna dalam Moonbow dan ia sering kelihatan berwarna putih sahaja.

Walau bagaimanapun, warna-warna sebenar Moonbow akan dapat dilihat dalam gambar yang diambil dengan menggunakan teknik 'Long Exposure'.

Moonbow Victoria Water Falls
Moonbow di Air Terjun Victoria, Afrika.

Selain pembiasan cahaya bulan pada titisan air hujan, cahaya yang dipantulkan oleh bulan pada percikan air di air terjun juga menghasilkan Moonbow. Cara terbaik untuk melihat Moonbow pada air terjun adalah dengan berdiri di antara air terjun dan bulan penuh dibelakang anda.

Lokasi-lokasi air terjun yang selalu berlaku fenomena Moonbow adalah di Yosemite Falls, California dan Cumberland Falls, Kentucky, Amerika Syarikat. Selain itu, Moonbow juga sering dilihat di air terjun di Victoria Falls, Afrika.

Air terjun Yosemite Falls adalah salah satu tempat popular untuk menyaksikan fenomena ini. Ramai orang akan berkunjung ke Yosemite Falls setiap tahun untuk melihat dan merakam fenomena unik itu.

Jika bulan penuh muncul dan langit cerah di Yosemite Falls, akan ada cahaya yang mencukupi untuk menghasilkan pelangi di air terjun tersebut.

Moonbow Yosemite Falls, California
Moonbow di Air terjun Yosemite Falls, California.
.
Musim luruh dan musim panas adalah masa yang sangat sesuai untuk menikmati spektrum cahaya menakjubkan ini di air terjun Yosemite. Keindahan pelangi itu akan dapat dilihat pada waktu malam hingga beberapa jam sebelum matahari terbit.

Sementara itu, seorang jurugambar, Charlie Hamilton James yang pernah merakamkan Moonbow di air terjun Victoria, Afrika, memberitahu bahawa Moonbow tidak terlalu menarik apabila dilihat dengan mata kasar. Ia hanya kelihatan seperti lengkungan cahaya berwarna putih yang malap.

Tetapi selepas melihat hasil gambar yang diambil dengan menggunakan teknik 'Long Exposure' iaitu dengan membiarkan kamera dipasang untuk masa yang lama akan mendedahkan keindahan sebenar Moonbow.

Dan percayalah, ia adalah pemandangan yang sangat menakjubkan!

0 Response to "Pelik! Pelangi Muncul Pada Waktu Malam"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...