GAMBAR fail penyokong JDT diarah berkumpul di tengah padang Stadium Perak apabila penyokong Perak menimbulkan kekecohan selepas perlawanan Liga Super di Ipoh pada April tahun lalu.


IPOH- Insiden kekecohan yang berlaku pada musim lalu memberi pengajaran kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang akan meningkatkan kawalan keselamatan pada perlawanan Liga Super di antara pasukan tuan rumah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak hari ini.
Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, antara langkah yang diambil termasuk menempatkan anggota pasukan keselamatan di dalam dan luar stadium.
Menurutnya, selain itu, untuk memastikan keselamatan skuad JDT, kawalan keselamatan turut diberikan selama mereka berada di bandar raya ini
“Pafa mengharapkan perlawanan esok berlangsung tanpa kekecohan seperti tahun lalu. Saya meminta kerjasama penyokong supaya tidak mengulang insiden kekecohan seperti tahun lalu. “Kita datang ke stadium untuk menonton bola, bukan membuat kecoh. Berkelakuan ganas bukan budaya kita dan tidak patut terikut-ikut dengan budaya dari luar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada April tahun lalu, kekecohan penyokong berlaku sebaik sahaja berakhir perlawanan Liga Super Perak-JDT, dipercayai kerana balas dendam ekoran kekecohan yang berlaku sewaktu Perak bertandang ke Johor Bharu sebelum itu. Kekecohan tersebut bermula di dalam stadium apabila beratus-ratus penyokong JDT terpaksa berkumpul di tengah padang stadium untuk mengelak daripada dihampiri penyokong tuan rumah. Kekecohan berlarutan ke luar stadium sehingga pasukan keselamatan terpaksa menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan. Sementara itu, mengenai prestasi skuad Bos Gaurus, Zainol mengakui agak kecewa terutama kegagalan meneruskan kemaraan dalam saingan Piala FA apabila tewas kepada Terengganu dalam peringkat suku akhir dengan agregat 1-3 Selasa lalu. Menurutnya, alasan jurulatih Datuk M. Karathu bahawa prestasi pasukan merosot disebabkan hampir kesemua pemain utama cedera dan digantung bukan alasan kukuh. Beliau berkata, ini kerana pemain yang menggantikan tempat pemain utama sepatutnya mempunyai kualiti yang sama dengan pemain yang tidak dapat diturunkan. “Saya tidak boleh terima itu sebagai punca utama kekalahan tempoh hari. Namun Pafa belum sampai ke peringkat untuk mengambil tindakan drastik terhadap beliau. “Saya harap pemain utama yang cedera dapat beraksi semula, begitu juga yang digantung supaya kita meraih keputusan positif dalam perlawanan esok,” katanya.
0 Response to "Kawalan di Stadium Perak dipertingkat"
Post a Comment