Indah tidak cemburu kejayaan Ayda Jebat


Indah RUHAILA kini berimej rambut pendek dan bakal muncul dengan dua lagu baharu tidak lama lagi.


Bekas pelajar Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Indah Ruhaila, 28, semakin dikenali selepas menjadi salah seorang finalis Anugerah Juara Lagu 2014 menerusi lagunya yang berjudul Percayalah.
Walaupun pemilik nama sebenar Siti Ruhailah Hussein itu dikatakan lebih menyerlah berbanding peserta AF2013 yang lain, Indah masih menganggap dirinya terlalu baharu di dalam industri seni.
Turut tercalon sebagai salah seorang Top 5 Artis Baharu Popular Anugerah Bintang Popular 2014 (ABP) awal April lalu, timbul dakwaan konon-kononnya Indah tidak berpuas hati dengan kejayaan Ayda Jebat yang berjaya membawa pulang anugerah kategori berkenaan.
Indah yang ditemui pada majlis 30 Living Legends anjuran Media Hiburan baru-baru ini sempat mengulas lanjut mengenai isu tersebut.
KOSMO!: Tahniah kerana anda berjaya menjadi antara finalis ABP untuk edisi 2014. Bagaimanapun, terdapat khabar angin mendakwa Indah tidak berpuas hati dengan kejayaan Ayda Jebat apabila mencebik sewaktu namanya diumumkan sebagai pemenang. Adakah benar dakwaan tersebut?
INDAH: Terima kasih. Menjadi salah seorang calon sudah cukup sebagai penghargaan buat penyanyi baharu seperti saya. Berkenaan hal tidak puas hati, sebenarnya perkara itu tidak benar. Pada malam tersebut, saya benar-benar kepenatan kerana memandu sendiri naik ke Genting Highlands. Ditambah pula dengan sesi solekan yang memakan masa agak lama, jadi pada malam itu, kepenatan terpancar pada wajah saya, secara tidak langsung kelihatan seperti marah, bukannya kerana kecewa tidak menang.
Bagaimana isu anda membuat mimik muka atau mencebik tidak puas hati itu boleh tersebar?
Jika tidak silap, pada malam anugerah berkenaan ada seorang peminat Ayda Jebat menghantar mesej menerusi Twitter kepada saya bertanyakan kenapa muka saya seperti tidak puas hati sewaktu nama Ayda diumumkan sebagai pemenang. Saya anggap peminat berkenaan tidak tahu keadaan sebenar. Oleh itu, saya memilih untuk tidak membalas mesej berkenaan. Saya tidak pasti jika ada orang lain yang perasan mesej tersebut.
Selepas lagu Percayalah, adakah anda mempunyai lagu baharu?
Alhamdulillah, sekarang saya mempunyai dua buah lagu iaitu sebuah lagu solo dan satu lagi lagu duet yang sedang dalam perancangan untuk dipromosikan. Lagu duet berkenaan berjudul Cerita Cinta Kita dinyanyikan bersama pelajar AF2014, Ewal. Lagu tersebut turut digunakan sebagai runut bunyi program realiti Pelamin Fantasia yang kini disiarkan di kaca televisyen. Sebuah lagi lagu merupakan ciptaan sepenuhnya Edry KRU yang masih tidak mempunyai judul, tetapi sudah selesai proses rakaman.
Boleh ceritakan pengalaman bekerjasama dengan Edry?
Peluang merakam lagu bersama Edry ialah pengalaman yang sangat bernilai. Dia komposer yang hebat. Edry tahu apa yang saya mahukan dalam lagu dan dia banyak membantu memberi penghayatan ketika proses rakaman. Walaupun belum mempunyai judul tetapi saya percaya bahawa sentuhan emas Edry akan menaikkan lagu tersebut.
Sudah dua tahun anda menjadi penyanyi, mungkin ada perancangan untuk mencuba bidang seni lain seperti pengacaraan dan lakonan?
Sebenarnya tawaran itu ada, tetapi saya tidak mahu terlibat dalam bidang lain dalam masa terdekat. Saya mencontohi artis senior seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah yang hanya fokus pada satu perkara sahaja. Saya tidak pandai untuk mencampuradukkan pelbagai kerjaya dalam satu masa.
Anda sudah bertunang sebelum menjadi pelajar AF2013. Tiada rancangan untuk ke fasa seterusnya?
Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang tunang yang sangat memahami kerjaya anak seni. Sebetulnya, kami tidak meletakkan sebarang sasaran untuk melangsungkan perkahwinan. Tunang benarkan saya selesaikan dahulu impian dalam bidang nyanyian. Insya-Allah, jika ada jodoh, tidak ke mana.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz3XuNIJySx 
Hakcipta terpelihara 

Related Posts :

0 Response to "Indah tidak cemburu kejayaan Ayda Jebat"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Recent Post With Sliding Effect